Sabtu, Februari 06, 2010

Punca Datangnya Bantuan Allah s.w.t

Punca Datangnya Bantuan Allah s.w.t

Saiyidina Umar Al Khattab r.a, sewaktu menjadi amirul Mukminin, pernah menyiasat tenteranya yang sedang berperang. Walaupun sudah begitu lama tapi masih tidak menang tapi masih tidak kalah. Perkara yang disiasat bukan senjatanya, kelengkapan perang atau lain-lain tapi dia melihat bagaimana sembahyang mereka. Setelah beberapa lama beliau bersama tenteranya, didapati mereka semua sudah cuai bersugi sebelum mendirikan sembahyang serta saf sembahyang sudah tidak lurus. Setelah ditegur dan mereka membaiki diri, maka ALLAH pun memberi kemenangan kepada mereka.

Demikian juga Salehuddin Al Ayubi yang hidup beratus tahun selepas rasulullah. Kalau dia dapat tahu anggota tenteranya tidak bangun malam, mereka direhatkan tidak boleh pergi berjuang. Takut nanti kerana mereka tidak bangun malam, terhijab bantuan ALLAH. Sedangkan bangun malam itu sunat, tidak salah kalau tidak dibuat. Tapi orang berjuang hendakkan bantuan ALLAH, maka kena rapat dengan ALLAH iaitu melalui amalan sunat. Sebab itu siapa tidak bangun malam, Salehuddin Al Ayubi tidak membenarkan mereka ikut berjuang.

Adakah umat Islam hari ini berbuat bagitu? Dalam berjuang, berniaga, berdakwah, adakah check sembahyang malam? Sedangkan itu hanya sunat. Kita juga ada syarahkan ayat al Quran, “barangsiapa bantu Tuhan, Tuhan akan bantu”. Kalau kita tanya orang tersebut, sudahkah awak buktikan, sama ada dalam perniagaan, perjuangan atau lain-lain, atas dasar yakin dengan ayat yang awak baca, susah dia hendak jawab. Kalau tidak boleh buktikan macam mana awak nak cakap. Itu bukan dakwah, itu propaganda. Ini yang silap. Kita sendiri tidak boleh buktikan, macam mana hendak syarah kepada orang. Kita sembahyang hajat satu padang, tidak pernah ALLAH kabulkan. Orang ramai yang sembahyang hajat itu sudah bertaubatkah, sudah baiki dirikah? Patut sebulan lagi hendak sembahyang hajat, dalam masa sebulan itu membaiki diri. Tolong fakir miskin, orang susah, buat kebaikan. Lepas itu baru sembahyang hajat. Sudahkah kita buat macam itu? Akhirnya sembahyang hajat tidak jadi ibadah tapi jadi propaganda hendak mengutuk musuh.

Musuh tahu, sudah berapa kali kita buat sembahyang hajat, ALLAH tidak datangkan bala. Ertinya musuh sudah bertambah kufur, dia sudah tidak takut. Itu kesan dari sembahyang hajat yang ALLAH tidak kabulkan. Pernah di zaman Nabi Musa a.s berlaku kemarau. Nabi Musa dan pengikutnya bersembahyang hajat meminta hujan. Sembahyang hajat 70,000 orang, yang jadi imam itu bukan imam biasa, rasul Ulul Azmi. Lepas sembahyang, mereka berdoa, tetapi hujan tidak juga turun. Oleh kerana dia rasul, dia boleh tanya ALLAH. “Kami dah sembahyang hajat, 70,000 orang ni, tapi Engkau belum kabulkan”. Apa kata ALLAH,” Wahai Musa, macam mana Aku hendak kabulkan. Dikalangan 70,000 itu, ada dua orang yang belum bertaubat”. Nabi Musa bertanya: “Siapakah mereka itu?”. Kata ALLAH : ” kesalahan dua orang ini buat, tidak seorang pun tahu, engkau pun tidak tahu. Aku tidak boleh cakap, itu aib, itu rahsia antara Aku dengan hamba Aku. Aku tidak boleh buka.”

Kemudian Nabi Musa pun bercakap didepan orang ramai. “ ALLAH datangkan wahyu kepadaku, patutlah sembahyang kita tidak Kabul, ada dua orang di kalangan kita yang bersalah tapi belum bertaubat.” Jadi orang yang bersalah itu dia tahulah kesalahannya. Maka dia pun bertaubat. Sedangkan Nabi Musa tidak tahu siapa. Selepas sembahyang hajat sekali lagi, hujan terus turun. Cuba tengok seramai 70,000 ribu orang, dua orang sahaja yang sangkut. Kita satu padang, sembahyang subuh pun tidak selesai lagi, macam mana ALLAH hendak tolong. Tapi oleh kerana ulama arahkan sembahyang hajat, kita pun sembahyang hajat. Tapi musuh tidak takut. Dia tahu sembahyang hajat kita tidak pernah Kabul.

Kesimpulan, untuk mendapat bantuan ALLAH dalam perjuangan, tidak kiralah apa perjuangannya asalkan dibenarkan ALLAH (termasuk juga berjuang melawan hawa nafsu dan syaitan) kita kena serius jaga perkara-perkara ini, iaitu :-

a)- Banyakkan ibadah khusus yang sunat-sunat khususnya sembahyang malam.

b)- Memperbanyakkan membuat kebaikan sesame umat Islam seperti ramah mesra, bersedekah, berukkhuwah, bertolong bantu, berbuat baik pada jiran dsb.

c)- Meninggalkan dosa

d)- Tidak meninggalkan semua perintah wajib.

Jika kita masih lagi tidak dapat mengamalkan perkara-perkara di atas, apakah mungkin ALLAH akan bantu kita. Bukankah dosa itu kemurkaan ALLAH? Bukankah memperlengahkan solat itu kebencian ALLAH? Mahukah ALLAH membantu kita dan perjuangan kita seandainya kita sangat cuai dengan ALLAH s.w.t ???

Bacalah dan fahamilah sejarah silam. Siapa lagi yang mahu kita contohi kalau bukan sejarah para rasul dan sahabat Nabi yang terdahulu. Mereka telah mencatatkan sejarah agung kegemilangan Islam buat kita ambil ikhtibar.